Nuffnang

Tuesday, November 27, 2012

Inginkan mata menawan dan sihat?



Penggunaan komputer atau gajet elektronik berlebihan dan kurang tidur adalah salah satu penyebab mata anda menjadi cepat letih atau lesu, timbul lingkaran hitam dan bengkak. 

Sememangnya ia boleh dilindungi dengan solekan yang betul di bahagian mata, tetapi pada masa yang sama, anda juga perlulah mengambil berat dalam penjagaan mata yang betul. 

Ikuti tips-tips berikut: 

Bersihkan solekan mata sebelum tidur 


Pastikan solekan di bahagian mata anda dibersihkan terlebih dahulu sebelum tidur atau ia akan mengakibatkan pori-pori kulit tersumbat. Bersihkan mata dengan menggunakan pembersih khusus untuk bahagian mata kerana kawasan tersebut amat sensitif jika dibandingkan dengan bahagian wajah yang lain. Pastikan anda sapu krim khas bagi merawat mata anda ketika tidur. 

Kaedah tradisional hilangkan lingkaran hitam 


Boleh dikatakan hampir semua orang akan mengalami masalah ini dek kerana satu sahaja penyebabnya – kurang tidur. Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan lingkaran hitam di bawah mata atau tekanan ini. Antaranya adalah meletakkan hirisan timun, tomato atau kentang di atas kelopak mata dan dibiarkan sekurang-kurangnya 15 minit setiap malam sebelum masuk tidur. Selain daripada itu, penggunaan ais batu juga dikatakan berkesan untuk merawat masalah ini kerana ia akan melancarkan peredaran darah di sekitar mata. Walaupun terdapat beberapa produk yang lebih moden seperti krim kosmetik dalam bentuk roll-ondijual di pasaran, tiada yang lebih baik dan mudah daripada menyelesaikannya dengan kaedah tradisional. Jimat dan mudah! 

Amalkan pengambilan makanan berkhasiat 


Memang benar, pengambilan dalam makanan berkhasiat sememangnya bukan sahaja baik untuk mata, malah untuk kesihatan kita. Kandungan mineral dan vitamin dalam buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai khasiat dan kelebihan untuk kecantikan mata. Kebanyakan buah-buahan berwarna ungu seperti prun dan beri sangat kaya dengan sebatian yang dikenali sebagai anthocyanidin yang memberi manfaat kepada mata. Malah pengambilan sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, sawi, lobak merah, tomato dan labu mengandungi beta karotin yang tinggi juga baik untuk mata. Begitu juga buah-buahan seperti limau, betik dan mangga. Kandungan vitamin C mampu membantu pembentukan kolagen yang menambah keanjalan kulit di sekeliling mata. Selain makanan, pengambilan air masak juga memberi manfaat. Minum air masak yang banyak terutama sekali ketika cuaca terlalu panas atau ketika anda berada di tempat berhawa dingin. Ia mampu mencegah kedutan di bahagian mata, sekaligus mengelak kulit daripada menjadi kering. 

Kurangkan tekanan di bahagian mata 


Ya, mata anda juga memerlukan senaman dan ianya sangat mudah dan tidak memerlukan wang atau sebagainya. Anda hanya perlu mengerdipkan mata dan memejamkan mata kerana ia mampu mengurangkan keradangan dan rasa letih pada mata. Sememangnya senaman ini sangat bersesuaian kepada mereka yang bekerja atau menggunakan komputer kerana seperti sedia maklum, ia akan membuatkan mata anda berasa cepat letih. Bagi yang memakai kaca mata, cabut sebentar bagi merehatkan mata anda dan lakukan senaman tersebut. Manakala bagi yang memakai kanta lekap, pastikan anda tidak memakainya melebihi tempoh lapan jam kerana ia akan membuatkan mata anda bertambah letih dan lesu. Pastikan tangan anda bersih terlebih dahulu! 

Lindungi mata anda dari sinaran UV 


Jika anda adalah seorang yang seringkali terdedah kepada matahari, pastikan anda menyapu gel mata atau krim pelindung matahari sebelum keluar rumah melakukan kerja seharian anda. Sinaran UV secara berlebihan mempercepatkan kedutan kulit di bahagian mata. Oleh itu, anda boleh menggunakan payung atau kaca mata yang mempunyai penapis sinar UV agar mata anda dilindungi. 

Betulkah ubat gigi hilangkan jerawat?




Hampir semua daripada kita sudah pasti pernah menggunakan teknik ini untuk mengatasi masalah kulit wajah, iaitu dengan menyapu ubat gigi di kawasan yang berjerawat.

Walaupun ianya mampu mengurangkan minyak, adakah ubat gigi merupakan suatu cara yang efektif demi mendapatkan kulit wajah yang licin dan bersih? Dan apakah kesan sampingan yang ada?

Menurut Dr. Neal Schultz, iaitu seorang pakar dermatologi dari New York, ubat gigi mengandungi bahan-bahan seperti soda penaik, hidrogen peroksida, alkohol, mentol, minyak pati serta triklosan yang bersifat anti-bakteria dan berfungsi mengeringkan jerawat.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa bahan-bahan tersebut tidak membuatkan penggunaan ubat gigi lebih efektif berbanding dengan cara penghilangan jerawat yang konvensional.

Seorang lagi pakar dermatologi, Dr. Rebecca Baxt, menambah bahawa kesan pengeringan yang dibawa oleh ubat gigi sering dilihat orang ramai sebagai suatu yang baik. Sebaliknya, kesan tersebut sebenarnya mengakibatkan radang kulit yang melibatkan kemerahan dan pengelupasan disebabkan oleh kulit yang terlebih kering.

Mungkin ada di kalangan kita yang mampu menghilangkan jerawat dengan cara sebegini, tetapi ubat gigi bukanlah sama sekali rawatan yang tepat untuk kulit berjerawat. Apa yang sebenarnya boleh mengatasi masalah kulit adalah benzoyl peroksida serta asid salisilik.

Oleh itu, jika anda ingin menghilangkan jerawat dengan cara yang berkesan dan tidak melibatkan wang yang banyak, anda boleh menyapu aspirin yang sudah dikisar dan dijadikan pes setelah larut dalam air di sekitar wajah sebelum tidur. Cara-cara lain yang popular dan efektif termasuklah sapuan jus limau ataupun lemon.